Ungkapan cinta itu buta sesuai menggambarkan hubungan dua insan yang menyulam kasih sehingga ke jinjang pelamin walaupun seorang daripada mereka dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU).
Mohd Azran Zainal Abidin, 27, memilih Siti Sarah Osman, 27, yang OKU kategori kerdil selepas menyulam cinta sejak 2010.
Pasangan istimewa itu disatukan di rumah Siti Sarah di Jalan Melati, Kampung Sura, Dungun, 10 malam Jumaat lalu.
Menurut Mohd Azran, dia tidak melihat kekurangan pada isteri sebagai halangan untuk mereka melangsungkan perkahwinan.
“ Saya tidak melihat paras rupa, warna kulit dan kesempurnaan fizikal kerana kelemahan itu menjadi indah dan sempurna apabila adanya rasa cinta.
“ Sepenuh hati saya mencintainya dan menerima dia seadanya kerana dia cukup istimewa serta sempurna untuk saya,” katanya yang berasal dari Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Putih, Kelantan.
Menceritakan kembali detik pengenalan mereka, Mohd Azran berkata, mereka mula berkawan selepas berjumpa ketika sama-sama menyertai Kem Motivasi Tingkatan Enam di Besut pada 2010 sebelum menjadi rapat.
“ Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut sementara isteri pula pelajar Sekolah Menengah Agama Maarif, namun kami sekadar berkawan pada awal perkenalan sebelum timbul perasan sayang selepas merasai banyak keserasian.
“ Saya tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap kami dan saya bersyukur apabila isteri menerima lamaran saya,” katanya yang bekerja sebagai pembantu pemasaran farmasi.
Bagi Siti Sarah pula, kesungguhan dan keikhlasan suami sepanjang perhubungan mereka membuatkan dia menerima lamaran lelaki terbabit.
“ Biarpun ada kekurangan, namun suami tidak melihat kelemahan itu dan bersedia untuk berkahwin dengan saya.
“ Saya tidak pernah menagih simpati dengan kekurangan yang ada sebaliknya menjadikan ia sebagai motivasi dan dorongan untuk berjaya.
“ Malah, saya sendiri tidak pernah menyangka akan berkahwin secepat ini, ternyata Allah SWT sentiasa adil dalam mencorakkan kehidupan setiap hambanya,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Kolej Universiti Insaniah Kedah.
Sementara itu, jurugambar perkahwinan, Wan Muhammad Amiirullah Wan Mansor, 22, berkata, keserasian pasangan berkenaan sangat sempurna sehingga menghasilkan gambar yang unik dan menarik.
“ Ini kali pertama saya mengambil gambar pasangan seperti ini dan saya kagum melihat kasih sayang antara mereka.
“ Kebiasaannya orang bercinta kerana paras rupa tetapi pasangan ini membuktikan cinta tidak hanya berlandaskan paras rupa dan fizikal tetapi keikhlasan hati, ” katanya
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Newsviral
Kredit : hmetro