'Sebelah kiri letaknya kedai syarikat dan kedai kopi pakcik Nik Moh. Manakala di tempat semak menjalar letaknya kedai runcit Abah dan rumah kayu di hujung adalah rumah pak Usop'
Sewaktu kecil dulu, abang long selalu bawa aku bergunting rambut di kedai gunting Pak Usop. Tetapi mahu disebut kedai gunting pun tidak sesuai rasanya, kerana tempat bergunting sekadar di sebelah beranda rumahnya dengan atap yang dilebihkan sedikit untuk berlindung daripada hujan dan panas.
Di bawah lebihan atap itu ada sebuah kerusi kayu yang dibikinnya sendiri. Pak Usop tidaklah sepenuh masa kerjanya sebagai tukang gunting, hanya mengisi masa lapang di sebelah petang selepas balik dari menoreh getah atau menebas kebun.
Kadang-kadang sambil menanti rambut siap digunting aku terlentok lena di kerusi apabila disapa angin petang yang dingin mendamaikan. Sedar-sedar Pak Usop mengejutkanku setelah rambut siap dipotong. Bayaran bergunting yang Pak Usop kenakan semurah satu ringgit. Bahkan, jika tiada duit pun tidak mengapa. Pergilah bergunting, tak perlu bayar, Pak Usop tidak kisah. Begitulah suasana kampung yang mungkin sulit untuk ketemu hari ini.
Jika tiada pelanggan yang mahu bergunting, Pak Usop selalu duduk di kedai kopi Pakcik Nik Moh di seberang jalan berhadapan rumahnya. Bersama beberapa penduduk yang lain mereka bermain dam aji dengan secawan teh tarik. Dari situ dia dapat melihat kalau-kalau ada pelanggan yang mahu bergunting.
Kedai kopi bagaikan satu pusat utama untuk bersilaturrahim dan melepaskan penat setelah hampir seharian membanting tulang di ladang getah atau di kebun sayur. Apa sahaja topik menjadi bualan dalam suasana yang sangat harmoni.
Oh ya, pemandangan yang biasa aku lihat dahulu, rata-rata penduduk kampungku ke mana-mana dengan tersisip parang di pinggang. Tidak kira sambil menunggang basikal maupun motosikal atau juga sambil menghirup kopi di kedai. Ia adalah perkara yang sangat biasa. Sangat janggal jika tiada parang tersisip di pinggang jika mahu keluar menjarah.
Mungkin sekarang ini situasinya sama dengan telefon bimbit yang tidak ada orang yang tidak memilikinya. Hatta budak sekolah rendah pun sudah memilikinya. Realiti.
Di sebelah kedai kopi Pakcik Nik Moh pula terdapat bekas tapak kedai yang kami panggil kedai syarikat. Mengapa digelar begitu? Entahlah aku pun tidak tahu, kerana saat aku mengenal dunia ia sudah mendapat jolokan tersebut. Tetapi pada fikirku, kedai syarikat tersebut adalah kedai yang didirikan oleh pihak kerajaan memerintah untuk kemudahan penduduk. Mungkinlah.
Dahulu, pemiliknya sebuah keluarga cina yang mengusahakan kedai runcit yang kami panggil kedai Nyah. Seingat aku itulah satu-satunya keluarga cina di kampung kami. Mereka sekeluarga sangat fasih berbahasa melayu. Cerita arwah bapaku, anak lelaki sulung Nyah yang dipanggil Ajuwak pun boleh mengaji kerana masa kecil-kecil seringkali mengikuti anak-anak kampung ke rumah tuan guru.
Setelah kedai syarikat diruntuhkan, mereka telah berpindah dari kampung kami. Tetapi sesekali si Ajuwak datang berkunjung ke rumahku ketika orang tuaku masih ada. Sangat akrab hubungan mereka.
Di sebelah kedai Nyah, di sinilah letaknya kedai mee calong yang sangat sedap rasanya. Pemilik kedai tersebut bernama Pak Aziz. Kami menggelarnya Pak Aziz calong. Sebut sahaja nama tersebut, seisi kampung mengenalinya. Aku selalu singgah dalam perjalanan sebelum ke kelas mengaji.
Seingat aku tiada lagi mee calong yang seenak buatan Pak Aziz. Harga pada masa itu cukup murah kira-kira 30 sen semangkuk. Jika dibungkus harganya 40 sen. Setiap kali menikmatinya, kami menghirup hingga ke titsan kuah yang terakhir dek kerana kesedapan yang menguasai anak tekak.
Sekarang, kedua-dua kedai syarikat yang berhimpitan itu telah tiada. Hilang tandanya tidak bersisa. Malahan pokok belimbing yang berdiri tegak di belakang kedai tersebut, yang biasa aku dan rakan-rakan memetik buahnya juga telah tiada. Tidak dibayangkan kami menikmati buah belimbing tersebut walaupun tidaklah semanis mana.
Di bawah runtuhan kedua kedai tersebut kini telah didirikan rumah sewa yang entah berapa kali bersalin penghuni.
Kedai kayu dua tingkat
Berhampiran rumah Pak Usop, ada sebuah kedai kayu dua tingkat. Seingat aku ia wujud lebih awal daripada rumah Pak Usop. Pakcik Sheikh Wahid mengusahakan kedai runcit tersebut. Sebelah bawah dijadikan kedai runcit yang menjual pelbagai barangan kegunaan penduduk, manakala sebelah atas berfungsi sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga.
Kedai pakcik Sheikh Wahid atau lebih mesra dengan panggilan kedai Abah adalah rumah kayu pertama dua tingkat pada masa itu di kampung kami. Mengapa digelar kedai Abah? Entahlah aku tidak dapat menjawabnya, dan aku tidak pernah pula bertanya kepada sesiapa. Cuma setahu aku, Pakcik Sheikh Wahid ini berketurunan arab Yaman, tetapi sudah jauh nasab generasinya.
Pakcik Sheikh Wahid atau Abah ini pernah menjadi bualan penduduk kami dahulu. Sebabnya, beliau adalah orang pertama yang membeli kereta proton saga di kampung kami. Jakunnya kami melihat Abah memandu kereta proton saga hijau miliknya di sekeliling kampung. Kata anaknya yang menjadi sahabat baikku, nombor pendaftaran kereta tersebut adalah tarikh lahir ayahnya.
Masih aku ingati nostalgia membeli air batu di kedai Abah. Air batu di dalam takung dikeluarkan dan dipotong dengan gergaji apabila ada yang mahu membelinya. Pada masa itu tidak ramai yang memilik peti ais di rumah. Jadi, untuk menikmati air batu tidak kira samada di hari biasa atau bulan Ramadhan, maka kedai Abah yang menjadi tumpuan. Manakala aku pula automatik menjadi tukang ke kedai membeli air batu.
Jika dikenang semua itu aku tersenyum sendirian. Ada bibit-bibit bahagia yang sukar digambarkan. Kini semuanya telah berubah. Aku percaya, semuanya semua deretan kedai sepi pupus tiada kena mengena denganku. Tapi aku cukup terasa 'hilang' dalam siang dan malamku. Segala imaginasi, aku bawa ke tidur. Realitinya desaku semakin berubah wajah dan citranya.
Moga Allah SWT cucuri rahmat buat mereka yang telah pergi, abang long, Pak Usop tukang gunting, Pak Aziz calong, Pakcik Nik Moh dan Abah Sheikh Wahid.